Seorang lelaki yang sederhana besar dan pendek,
tidak berleher dan berjambang serta bercawat tinggi sampai ke bahagian pusat
yang diikat dengan tali pinggang berkepala singa berjalan terkatik-katik
memasuki pintu kelab joget Chenta Sayang. Dia memerhatikan keadaan sekeliling
yang dipenuhi dengan puluhan tetamu yang sebaya umurnya atau mungkin lebih
kepada had pangkat “Patut Naik Haji, Bukannya Kelab Joget”. Ada yang sedang
leka meneguk air dari dalam botol bermacam bentuk dan warna, ada yang sedang
asyik menari terhenjut-henjut, ada juga yang cuma memerhati dengan perasaan
kosong. Kesunyian barangkali?
Dari bawah pentas, di lantai joget duduk menunggu
di atas kerusi rotan yang tidak mempunyai penyandar, tiga belas orang
perempuan-perempuan joget. Pakaian semuanya dihias sempurna dan secantiknya
dengan hampir sama. Baju kebaya yang diketatkan dan dipendekkan beberapa inci,
kain batik yang diikat sehingga bilamana berjalan bergeser diantara dua peha,
dan kasut tumit tinggi yang sederhana menikam. Masing-masing menunggu dengan
penuh sabar giliran untuk menari dengan pelanggan setia kelab joget Chenta
Sayang.
Lelaki yang sederhana besar dan pendek itu terus
laju melangkah ke arah perempuan joget yang bernombor tujuh. Pelekat nombor
tujuh melekap kemas di atas bahagian dada kanannya yang semestinya berbuah
montok dan melemaskan. Tiket berwarna merah jambu diberikan, sebelum tiket itu
dimasukkan ke dalam balang kaca yang tersedia tersisi dengan empat helai tiket
merah jambu yang terletak di bawah kerusi rotan. Perempuan joget itu tersenyum
dan terus laju melangkah ke lantai tari bersama lelaki tersebut.
“Som ingatkan abang Kus tidak jadi datang tadi. Hati
Som rasa gelisah, abang Kus.”
Lelaki itu ketawa kecil sebelum menjawab.
“Mana mungkin abang Kus tidak datang untuk menari
dengan Som? Bukankah abang Kus sudah bilang sejak pertemuan kita dahulu, setiap
malam abang Kus akan datang untuk menari dengan Som..”
“Tapi abang Kus, bagaimana dengan isteri abang Kus?
Anak-anak abang Kus?”
“Ah! Biarkan sahaja mereka semua. Mereka tidak
pernah fikir akan kebahagiaan abang Kus. Cuma Som seorang yang memahami
perasaan abang Kus..”
Suasana hingar-bingar manusia yang diselang-selikan
dengan mainan muzik dari pemuzik-pemuzik di tepi pentas bertambah bising dan
gempita dengan tepukkan tatkala seorang perempuan yang berhias diri bak seorang
Primadona muncul di atas pentas. Lengkas bermastora dan bertiara.
Seorang lelaki genit mencapai mikrofon.
TUK! TUK!
“Test! Test! Selamat malam, selamat bergembira
kepada semua pengunjung kelab joget Chenta Sayang!” Sekali lagi tepukkan
gemuruh diberikan oleh pengunjung. Som dan abang Kus tidak terkecuali.
“Malam ini merupakan malam yang istimewa buat kita
semua, penyanyi terkenal daerah kita ini, akan membuat persembahan secara
langsung di kelab joget Chenta Sayang! Tanpa membuang masa, saya persilakan..
Chombee Salbiah, dengan lagu Laksmana Raja Di Laut!”
Intro muzik dimainkan, Chombee Salbiah mengorak
langkah tarinya yang seakan tarian zapin sambil menggenggam mikrofon di tangan
kiri. Tidak kena dengan persalinan Primadona yang dipakai yang selayaknya bukan
untuk muzik gah melayu itu.
“ZAPIN.. AKU DENDANGKAN.. LAGU MELAYU.. PELIBUR
HATI.. PELIPUR LARA…” Rata-rata pengunjung kelab joget semua turut berjoget dan
menari mengikut rentak lagu zapin tersebut.
Deretan perempuan-perempuan joget yang sedang
menunggu pelanggan semuanya bingkas bangun, tidak terkecuali untuk menghiburkan
hati. Suasana kelab joget berubah warna seolah pesta joget lambak. Di dalam
keadaan seronok dan kacau-bilau itu, abang Kus sempat menarik Som ke tepi, jauh
sedikit dari lantai tari.
“Kalsom, abang Kus ada berita sedih yang mahu abang
Kus beritahu pada Som. Abang Kus harap Som tidak berduka cita ya?” Som menahan
nafasnya.
Dada montoknya berhenti bergerak bila nafasnya di
tahan. Mimpi ngerinya bakal menjadi kenyataan, getus suara kecil dibenak.
“Mungkin ini malam terakhir kita menari di kelab
Chenta Sayang ini. Abang Kus sudah tidak mampu lagi..”
“Abang Kus mahu meninggalkan Som? Apa itu
sebenarnya bukan? Som sudah mengerti sejak awal perkenalan kita dahulu. Som
cuma perempuan joget, bukan perempuan elok dan molek untuk abang Kus menjadikan
suri di rumah dan di hati abang Kus. Som redha abang Kus, Som mengerti.. apa
ini maknanya abang Kus sudah tidak cinta dan sayang sama Som lagi?” Abang Kus
ketawa kecil. Sekali lagi. Tetapi kali ini sedikit terbatuk.
“Abang Kus, abang Kus tidak apa-apa?”
“Uhuk! Uhuk! Uhuk!”
Som segera laju mendapatkan air putih suam dari
dalam bekas termos di balik langsir belakang pentas. Dituangkan ke dalam cawan
kaca. Ketika itu, Som melihat keadaan kelab joget Chenta Sayang dari belakang
pentas.
Puluhan manusia yang sedang berjoget tidak sedarkan
diri, lampu-lampu neon yang bergemerlapan, dan ketika itu satu suara halus
menerpa rongga telinganya.
“Apakah ini yang kau mahu? Kau mahu harta? Kau mahu
keseronokkan? Kau mahu selamanya menjadi dambaan perjaka? Kau mahu selamanya
bergelumang dosa? Kau mahu apa?” Som menggelengkan kepalanya beberapa kali dan
terus mendapatkan abang Kus yang sedang duduk bersandar di atas kerusi
berdekatan dengan meja kudap-kudapan. Perlahan-lahan abang Kus meneguk air suam
tersebut.
“Abang Kus tidak apa-apa? Jangan bagi Som risau,
abang Kus. Som…” “Som, Som. Kamu benar-benar cinta sama abang Kus ya?”
“Ya iyalah, abang Kus! Kalau tadi apa-apa terjadi
pada abang Kus, bagaimana Som mahu jelaskan pada isteri dan anak-anak abang Kus
di rumah? Terus jadi bualan kampung abang Kus, yang abang Kus sama saja seperti
lelaki-lelaki jongos di luar sana! Kaki kelab joget!” Som membuat wajah. Seolah
merajuk sambil mencebik.
Abang Kus merapati Som.
“Som, ini kali terakhir kita berjumpa di kelab
joget ini…”
“Mengapa
mahu diulang ayat yang berbisa itu abang Kus, cukuplah.. abang Kus, cukuplah..”
Abang Kus mengambil kedua belah tangan Som dan
dilekapkan ke dadanya. Dia memandang wajah Som dengan penuh perasaan kasih. Som
membalas dengan riak wajah celaru.
“Maksud abang Kus, ini kali terakhir kita berjumpa
di kelab joget ini kerana malam ini, malam bermakna buat abang Kus. Perasaan
berani dan ikhlas ini terbit dari hati abang Kus..”
“Apa saja yang abang Kus mengarutkan, malam sudah
larut abang Kus. Pulanglah..” “Tapi, Som. Dengarlah dulu isi hati abang Kus..”
Som membentak.
“Apa? Abang Kus mahu melafazkan isi cinta tulus
dari hati abang Kus? Begitu bukan? Simpan saja semua pendustaan itu abang Kus.
Som sudah letih untuk membuka dan menerima cinta dari lelaki-lelaki kelab
joget! Semuanya dusta dan berlandaskan nafsu semata. Som letih, letih dengan
dusta lelaki abang Kus..”
Abang Kus cuba untuk mencelah tetapi dihalang
secara terus oleh Som.
“Mustahil bagi seorang suami yang juga seorang bapa
seperti abang Kus mahu berkahwin dan cinta sama Som! Som ini perempuan joget!
Som menjongket punggung Som ini, dari malam ke malam yang lain untuk sesuap
nasi. Barangkali juga ada bergesel-gesel sedikit demi untuk uwang lebih. Apa,
abang Kus sanggup menerima Som lagi?”
“Abang tetap..”
“Ah! Dusta! Dusta!” Som bangkit, dada yang montok
turun naik seolah menyokong amarahnya yang entah dari mana terbit.
“Apa bukan tadi Som juga yang bilang mahu menjadi
suri hati abang Kus?” Nada abang Kus bergetar, menahan emosi lelakinya.
Giliran Som pula ketawa kecil. Abang Kus mengangkat
kening.
“Mungkin, mungkin buat seketika tadi. Dan mungkin
juga kalau abang Kus terlebih dahulu mengucapkan di awal perkenalan kita
dahulu, semua ini tidak akan terjadi. Ya, Som rasa semuanya sudah terlambat
abang Kus. Teman joget di lantai tari, ya. Masih Som terima. Tetapi untuk
selamanya menjadi suri.. maaf abang Kus. Som sudah penat..”
Som melangkah lambat-lambat ke lantai tari sebelum
sempat berpusing dan memandang ke arah abang Kus yang jelas kecewa.
“Ini dunia Som, abang Kus. Perempuan joget..”
Abang Kus menunduk, dia kalah dengan emosi. Dia
sempat melepaskan keluhan kecil tatkala Som sudah hilang dari pandang.
“Mungkin kalau aku dari awal dahulu menyatakan
semuanya.. mungkin….”
“SO
IF YOU REALLY LOVE ME..
SAY YES, BUT IF YOU DON’T DEAR..
CONFESS. AND PLEASE
DON’T TELL ME..
PERHAPS, PERHAPS, PERHAPS..
PERHAPS, PERHAPS, PERHAPS..”
*DORRIS
DAY – PERHAP, PERHAPS, PERHAPS*
0 maklumbalas:
Post a Comment