Saturday, June 13, 2015

Parallel Offline (bhg. 5)

6:13 PM Posted by Ed Khilaf (Ed) No comments
“Hello? Helloooo?” Dia memanjangkan vokal ‘O’ kira-kira empat harkat sebelum berhenti. Senyap. Tiada jawapan seolah bercakap dengan telefon yang mati tidak bercas. Selepas beberapa saat, ia hanya diakhiri dengan nada toot sahaja, tanda isyarat diputuskan.

Dia berasa kecewa. Kegeraman mula bersarang dalam lubuk hati. Untuk menghilangkan rasa tertekan, dia cuba bersangka baik. Mungkin rakannya yang cuba menghubungi tadi, fikirnya. Tapi nombor rakannya mana pernah private? Segala andaian ditolak pantas. Dia membuka whatsapp & menghantar mesej kepada rakannya.

“Bro, ko katne?”

“Call aku blk cpt”

Nafas kecewa dihembus selepas baris kedua. Dalam kekeliruan, hati dibulatkan untuk keluar dari bilik menuju lobi di bawah. Barangkali receptionist boleh tolong. Paling tidak pun dapatkan password wifi premis.

            Dia bingkas bangun dari katil. Beg diletakkan di atas katil sebelah. Kedengaran bunyi tapak kaki dari luar bilik. Lelaki tersebut sedikit tersenyum. Rasa cuak dirasakan telah kurang. Dia berjalan menuju pintu bilik. Kad pass pintu disimpan rapi dalam poket seluar.

            Pintu dibuka. Anehnya tiada sesiapa di luar. Suasana seperti sedikit suram malap walaupun cahaya sekeliling berada di tahap normal.  Dia tidak mahu memikirkan apa-apa. Rileks. Mungkin sahaja yang lalu tadi dah turun. Dia menutup pintu bilik & berjalan menerusi koridor menuju lobi.

            Sesampainya di hujung simpang, ekor matanya seolah menangkap imej seseorang lalu dari hujung laluan kiri. Dia menoleh & berhenti sejenak. Tiada orang. Namun begitu entah mengapa bulu romanya meremang. Cepat-cepat dia menyisihkan perasaan tersebut & terus rileks menuju tangga. Jarak dari tempat dia berdiri tidaklah jauh dari gigi tangga namun perasaan cuak itu membuatkan ia terasa sedikit lama.

            Langkahnya terhenti di permulaan tangga. Darahnya berderau. Kaget.

Seekor anjing rottweiler dewasa menunggu di hujung tangga bawah sedang menyeringai garang. Dia refleks mengangkat langkah seribu. Anjing tersebut menyalak & terus mengejar sebaik sahaja dia mula berlari.

Perasaan takut benar-benar mencengkam dirinya saat itu. Dia menoleh ke belakang. Anjing itu tergelincir dek mengambil belokan tajam. Tanpa berfikir panjang, dia mencapai kad pass dari dalam poket. Biliknya sudah tidak jauh. Sesampai sahaja di pintu hadapan, dia mengetuk kadnya di atas papan sensor beberapa kali. Tangan kirinya menggigil cuba memulas tombol.

Anjing itu bingkas meluru pantas. Dalam masa dua saat, jaraknya hanya sedepa dari mangsa. Ia bersedia untuk menerkam.

Tombol berjaya dibuka. Dia cepat-cepat masuk, menutup pintu & bersandar padanya. Nafasnya turun naik. “Ya Tuhan... gilanya.” Katanya dengan nafas tercungap. Peluh membasahi wajah dek ketakutan yang amat sangat. Dalam keadaan terpejam dia cuba mengumpulkan kembali semangat.

Mata dibuka. Sesuatu yang aneh telah menarik perhatiannya. Tiada bunyi salakan mahupun perlanggaran di luar pintu bilik.

Dia bangkit dan tunduk melekapkan pipi di atas lantai. Matanya melilau memerhatikan jikalau anjing misteri masih berada di luar.

Tiada bayang kaki anjing kelihatan. Memang aneh. Suasana kembali sepi.

Nasibnya baik. Namun begitu ketakutan serta pelbagai pertanyaan berlegar-legar dalam benak fikirannya. Dia kembali buntu. Telefon pintar dicapai & dia kembali cuba membuat panggilan. Kali ini kepada sesiapa yang ada dalam contacts, dengan harapan ada yang menyahut kembali.

“Tolonglah, korang. Tolong jawab..” katanya perlahan. Air matanya seolah mahu menitis mengenangkan keadaan. Dia tidak mahu keluar buat masa ini.


Bukan sekarang.

bersambung...