Saturday, March 14, 2015

CertotFixi (PENTAS) - Ariff Adly

4:20 PM Posted by Unknown , , No comments

Jam loceng berdering tanda masuknya hari baru.
Celik.
Aku menggosok mata beberapa kali selepas menggeliat. Perlahan-lahan aku melangkah turun dari katil, berdiri di hadapan cermin. Tanganku mencapai satu topeng muka yang warna asalnya putih kini kotor dengan bermacam warna, penuh calar. Ada juga bahagian yang sudah retak.
Topeng itu aku sarung, dan melihat semula refleksiku melalui cermin.
Kosong.
**
Keluar dari rumah, aku lihat ramai manusia berkumpul – juga bertopeng seperti aku – di hadapan sebuah pentas. Papan tanda di atasnya tertulis: “DUNIA”.
Di atas pentas berdiri  lima orang – juga bertopeng.
Empat daripada mereka hampir sama keadaan topengnya; kotor, dan penuh calar. Seorang daripada mereka hanya anak muda; usianya dalam 15 atau 16 tahun aku anggarkan. Topengnya masih bersih.Manusia-manusia di bawah melemparkan batu, lumpur, selipar. Ada juga yang gila melayangkan pisau dan parang.
“Whoaaaa!!”
Satu sorakan panjang terdengar. Ada juga yang bertepuk tangan, teruja apabila sebilah pisau tertancap menembusi topeng salah seorang di atas pentas. Aku tidak terkecuali. Mereka di atas pentas hanya statik. Tertunduk, tidak melawan.
Ah, satu sudah rebah. Empat lagi.
**
Selesai hari ini.
Aku kembali ke rumah. Topeng muka aku tanggal, dan terus rebah di atas katil.
**
Jam loceng berdering tanda masuknya hari baru.
Celik.

0 maklumbalas:

Post a Comment