Friday, March 20, 2015

Parallel Offline (bhg 1) - Ed Khilaf

8:57 AM Posted by Ed Khilaf (Ed) No comments
Seperti mana kebiasaannya, Khairi akan menghadap komputer peribadinya pada waktu dinihari. Selepas pulang dari kedai mamak port harian yang terletak tidak jauh dari rumah, melayari internet & melakukan kerja-kerja berkaitan memang sudah menjadi rutin lelaki berusia lewat 20an ini. Pada waktu beginilah ilham serta semangat bekerja tiba, menyalahi norma sebahagian besar masyarakat yang biasanya tidur atau menonton perlawanan bola sepak pada ketika itu.
Dia tidak terus sahaja melakukan kerjanya pada malam itu. Selain melayari laman sesawang twitter, emel serta blog-blog berkaitan misteri dunia, dia ada juga bermain permainan komputer barang seround dua. Begitulah aktivitinya hampir setiap malam.
Kedengaran beberapa ekor anjing bersahutan pada malam itu. Barangkali anjing jiran yang disahuti anjing-anjing liar yang berkeliaran pada waktu begini. Kadangkala ia berlaku hingga menjadi kebiasaan. Maklumlah rumahnya terletak di kejiranan di kaki bukit kawasan Taman Seri Gombak, dan deretan rumahnya terletak berhadapan dengan belukar. Lampu jalan di sekitar rumahnya juga kadangkala tidak berfungsi, membangkitkan rasa seram bagi sesiapa yang melalui jalan tersebut pada waktu malam.
Makin rancak pula, getus Khairi dalam hati. Dia bangkit dari kerusi workstation menuju dapur. Dia memegang sedikit permukaan cerek selepas menghidupkan lampu. Masih panas. Sepeket kopi jenama Klassno Premium 3 dalam 1 dicapai dari dalam gerobok. Dituangnya serbuk kopi ke dalam mug bersama air panas yang memenuhi ¾ mug, dia menggaul ringkas dengan sudu. Sudu diletakkan ke dalam sinki. Lampu dapur dimatikan.
Lolongan anjing masih bersahutan. Khairi fikir adanya makhluk lain yang sedang berkeliaran dalam perimeter luar rumah. Aroma kopi memenuhi ruang workstation. Nikmat. Kenikmatan lazat kopi yang bakal dihirup bersama atmosfera yang sedikit seram memang mengujakan, fikirnya.
Adik lelakinya, Zack sedang leka bermain permainan Age of Empire di komputernya sendiri yang terletak di bawah ruang tangga rumah. Malam itu Khairi tidak berasa untuk bertempur dengan adiknya di atas talian. Baginya, dia tidak ada mood untuk bermain pada malam itu. Dia hanya membiarkan.
Khairi kembali ke workstation. Dia melayari laman-laman biasa, dan malam ini dia berasa untuk mencari kisah-kisah seram yang updated terima kasih kepada mood seram yang tiba malam itu.
Blog Dunia Seram menjadi laman singgahan pada malam itu. Sudah berbulan rasanya tidak ke sini, katanya dalam hati. Dia menghirup kopi selepas menekan butang enter pada papan kekunci.
Kisah berkenaan pontianak menjadi bahan bacaannya pada malam itu. Boleh tahan kisah-kisahnya. Lolongan anjing di luar sudah lama berhenti sekitar setengah jam lepas. Jam menunjukkan hampir pukul 3 pagi. Adiknya sudah masuk tidur. Khairi kini berseorangan menghadap komputernya di ruang tamu.
Khairi terus saja melayan kisah seram lain di laman-laman lainnya berselang-seli dengan twitter serta youtube. Bosan. Akibat kebosanan dia bercadang untuk memuat turun filem seram yang dirasakan belum pernah ditonton. “Apa je yang best?” katanya sendirian. Dia menekan papan kekunci & memasukkan alamat salah satu laman muat turun torrent yang terkemuka. Punat enter ditekan. Selang dua tiga saat, skrin mula memaparkan sesuatu yang kurang indah untuk ditatap:

“Internal server error. 404 server not found”

“Pulak dah. Time ni la nak tak boleh access bagai..” dengus Khairi. Dia masih belum berputus asa. Jari-jemarinya galak menekan papan kekunci, memasukkan alamat laman lain yang boleh digunakan.
Berhasil. Laman kedua nampaknya boleh diakses. Dia menghalakan panah tetikus ke tab lain pada browser Google Chrome. Dia mula mencari filem-filem seram yang dirasakan layak untuk ditonton.
Haunted Changi, Highland Towers, It, Dark Flight 407... satu demi satu tajuk berserta sinopsis diteliti. Khairi sangat meminati kisah seram dari Thailand namun kebanyakannya sudah ditonton sebelum ini. Dia cuba untuk bertukar selera dengan mencari kisah seram Hollywood yang rata-rata tidak banyak yang dapat memenuhi kriterianya.
Dia berhenti sejenak untuk mengambil nafas & berfikir. Seketika kemudian dia melayari youtube. Dia mahu melihat dulu trailer filem-filem yang difikirkan mahu ditonton nanti. Grave Encounters.. macam best, fikirnya. Dia menghalakan tetikusnya pada tajuk tersebut....

bersambung...

0 maklumbalas:

Post a Comment